Ya ALLAH...seandainya mati lebih baik untuk ibuku...maka ENGKAU matikanlah ibuku...

Mula2 aku ingat nak buat update pasal Eusoff tapi tiba2 aku nak buat update pasal satu status yang aku terbaca kat FB yang aku tak berapa setuju. Ni aku kopipasta kat bawah :

Ya ALLAH...seandainya mati lebih baik untuk ibuku...maka ENGKAU matikanlah ibuku...

Pada suatu hari, seorang pemuda yang bernama Faizal terlibat dalam kemalangan. Dia dilanggar oleh sebuah teksi di sebatang jalan raya.Akibat daripada kemalangan itu dia cedera parah. Kepalanya luka, tangannya patah dan perutnya terburai. Setelah dibawa ke hospital, doktor mendapati keadaannya terlalu teruk dan men
jangkakan dia tidak ada harapan lagi untuk hidup. Ibunya, Jamilah segera dihubungi dan diberitahu tentang kemalangan yang menimpa anaknya.

Hampir pengsan Jamilah mendengar berita tentang anaknya itu. Dia segera bergegas ke hospital tempat anaknya dimasukkan.Berlinang air mata ibu melihat keadaan anaknya. Walaupun telah diberitahu bahawa anaknya sudah tiada harapan lagi untuk diselamatkan, Jamilah tetap tidak henti-henti berdoa dan bermohon kepada ALLAH agar anaknya itu selamat.

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, keadaan Faizal tidak banyak berubah. Saban hari Jamilah akan datang menjenguk anaknya itu tanpa jemu. Saban malam pula Jamilah bangun untuk menunaikan solat malam bertahajjud kepada Allah memohon keselamatan anaknya. Dalam keheningan malam, sambil berlinangan air mata, Jamilah merintih meminta agar anaknya disembuhkan oleh ALLAH.

Ini adalah antara doa Jamilah untuk anaknya itu ;

”Ya ALLAH ya Tuhanku, kasihanilah aku dan kasihanilah anak aku. Susah payah aku membesarkannya, dengan susu aku yang ENGKAU kurniakan kepadaku, aku suapkan ke dalam mulutnya. Ya ALLAH, aku pasrah dengan apa jua keputusan-MU! Aku redho dengan qada’ dan qadar Mu yaa ALLAH.”

”Yaa ALLAH, dengan air mataku ini, aku bermohon kepadaMu, ENGKAU sembuhkanlah anakku dan janganlah ENGKAU cabut nyawanya. Aku sangat sayang kepadanya. Aku sangat rindu kepadanya. Susah rasanya bagiku untuk hidup tanpa anakku ini. Terngiang-ngiang suaranya kedengaran di telingaku memanggil-manggil aku ibunya.”

“Ya ALLAH, tidak ada Tuhan melainkan hanya ENGKAU saja. Tunjukkanlah kuasa Mu ya ALLAH. Aku reda kalau anggota badanku dapat didermakan kepadanya agar dengannya dia dapat hidup sempurna kembali.”

“Ya ALLAH, Engkaulah yang Maha segala hal, berkat kebesaran Mu ya ALLAH, terimalah doaku ini….aamiin”.

Keyakinan Jamilah terhadap kuasa Ilahi sangat kuat walaupun tubuh badan anaknya hancur cedera dan dikatakan sudah tiada ada harapan lagi untuk hidup. Namun, Allah benar-benar mahu menunjukkan kebesaran dan kekuasaanNya.

Setelah 5 bulan terlantar, akhirnya Faizal menampakkan tanda-tanda kesembuhan dan akhirnya dia sembuh sepenuhnya. Berkat doa seorang ibu yang ikhlas.

Faizal dapat meneruskan hidupnya hingga berumahtangga dan beranak-pinak. Ibunya, Jamilah semakin hari semakin tua dan uzur.

Suatu hari, Jamilah yang berusia hampir 75 tahun jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital. Pada mulanya, Faizal masih melawat dan menjaga ibunya di hospital. Tetapi semakin hari semakin jarang dia datang menjenguk ibunya hinggalah pada suatu hari pihak hospital menghubunginya untuk memberitahu keadaan ibunya yang semakin teruk.

Faizal segera bergegas ke hospital. Di situ, Faizal dapati keadaan ibunya semakin lemah. Nafas ibunya turun naik. Doktor memberitahu bahawa ibunya sudah tidak ada masa yang lama untuk hidup. Ibunya akan menghembuskan nafasnya yang terakhir pada bila-bila masa saja.

Melihat keadaan ibunya yang sedemikian dan kononnya beranggapan ibunya sedang terseksa, lantas Faizal terus menadah tangan dan berdoa seperti ini;

“Ya ALLAH, seandainya mati lebih baik untuk ibu, maka ENGKAU matikanlah ibuku! Aku tidak sanggup melihat penderitaannya. Yaa ALLAH, aku akan redho dengan pemergiannya…Aamin.”

Begitulah bezanya doa ibu terhadap anak dan doa anak terhadap orang tuanya. Apabila anak sakit, walau seteruk mana sekalipun, walau badan hancur sekalipun, walau anak tinggal nyawa-nyawa ikan sekalipun, namun ibu bapa akan tetap mendoakan semoga anaknya diselamatkan dan dipanjangkan umur.

Tetapi anak-anak yang dikatakan ‘baik’ pada hari ini akan mendoakan agar ibu atau bapanya yang sakit agar segera diambil oleh ALLAH, padahal ibu bapa itu baru saja sakit. Mereka meminta pada ALLAH agar segera mematikan ibu atau bapanya kerana kononnya sudah tidak tahan melihat ‘penderitaan’ ibu bapanya.

MORAL OF THE STORY...
Tidak dapat dinafikan bahawa kasih sayang seorang ibu mengatasi segalanya, tidak dapat dinilai dengan emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Tidak hilang dihati seorang ibu perasaan rindu terhadap anak-anaknya walaupun sesaat, kadang-kala ibu tidak dapat menyuap makanan ke mulutnya dan melelapkan matanya kerana teringatkan anak-anaknya ini dan ada ketikanya air mata berlinangan mengalir membasahi dipipinya kerana mengenang dan merindui akan anak-anak.

Ambillah kesempatan yang masih ada ini untuk menyayangi sebelum mereka didatangi ajal.

Renungkanlah firman ALLAH yang bermaksud :

Maksudnya: “Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
- Surah al-Israa’:24
 


 
Dan ini adalah jawapan aku :




I don't particularly like this article. Yes. Doa seorang ibu tak sama dengan seorang anak. Tapi pernah ke penulis ni ada dalam situasi dimana melihat ibu sendiri berjuang bertahun2 utk hidup, menangis setiap malam selepas solat, hari2 bertahan untuk tetap bangkit..demi anak2.

Melihat ibu sendiri merelakan diri dijadikan bahan ujikaji, eksperimen doktor2..semua atas nama usaha untuk kekal hidup...untuk apa? Utk menjaga anak2. Melihat ibu sendiri terlantar, koma berhari2... jasad dah tak berdaya tapi roh masih tergantung..kenapa? Kerana anak2.

Berpuluh2 doa, berkoyan2 airmata seorang anak tetap takkan mampu melawan takdir Allah. Sampai satu masa kau akan terasa betapa kejamnya kau sebagai seorang anak..memohon,meminta,merayu,meratap kepada Allah..agar si ibu tetap kekal hidup. Kerana si anak tak mahu menjalani hidup sebagai anak yatim dalam usia muda. Kerana si anak tak mahu tahu apa erti kehilangan ibu.

Sampai satu saat kau akan sedar betapa kejamnya kau sebagai anak, menahan si ibu dari menghadap Penciptanya semata2 demi keegoan dan kepentingan diri. Merelakan si ibu diseksa lebih jauh sedangkan rohnya sudah tergantung di awangan. Akan sampai satu masa si anak akan sedar dan berkata "Ibu...andai masih diberikan Allah masa utk kita bersama, kembalilah kepada kami. Tapi andai sudah sampai masamu.. Pergilah. Jangan dirisaukan aku. Aku akan tetap hidup. Demi kamu... Ya Allah. Kau tahu apa yang terbaik utk hamba2Mu. Setiap yang Kau jadikan pasti ada hikmahnya. Maka jadikanlah yang terbaik kami, hamba2Mu ini..". Habis sahaja si anak melafazkan kata2 tersebut, si ibu pergi meninggalkan dunia ini.

Persoalannya..tahukah penulis perasaan tu semua?Pernah ke dia lalui itu semua? Aku tahu. Sebab ini kisah aku. Pada 1 Mac 2001. (^_^)




Comments

Popular Posts